fbpx

United makin sukar angkara Woodward

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WOODWARD menjadi perhatian selepas kegagalannya membawa masuk pemain berkualiti buat United sejak beberapa musim lalu. – AFP

MANCHESTER – Kekalahan memalukan 1-3 Manchester United pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris kepada Crystal Pa­lace Ahad lalu terus membangkitkan kemarahan para bekas pemain pasukan itu.

Terbaharu, bekas pemain pertahanan kiri mereka, Patrice Evra yang nyata tidak berpuas hati dengan prestasi skuad kendalian Ole Gunnar Solkjaer tetapi tidak menyasarkan kemarahan itu kepada pengurus dari Norway berkenaan.

Menurut Evra, situasi sukar yang dialami oleh The Red Devils ketika ini adalah disebabkan aktiviti yang terlalu perlahan pasukan itu dalam pasaran perpindahan sejak beberapa musim lalu menyebabkan mereka terlepas ramai pemain yang berpotensi untuk dibawa ke Old Trafford.

Evra mendakwa, Naib Pe­ngerusi Eksekutif United, Ed Woodward perlu memikul tanggungjawab kegagalan pasukan itu meraih prestasi yang diharap­kan, selain menuduh individu yang menjadi kepercayaan pe­ngurusan kanan The Red Devils itu bagi run­dingan mendapatkan pemain baharu, Matt Judge gagal melakukan kerja dengan baik.

“Masalah yang Woodward perlu tahu adalah orang yang diberi kepercayaan itu tidak melakukan tugas dengan baik.

“Bagi saya, dia boleh mempercayai orang di luar kelab berbanding mereka yang berada bersamanya.

“Orang seperti Richard Arnold (Pengarah Urusan Kumpulan Manchester United) lebih berkaliber, membawa masuk banyak penajaan dan wang untuk kelab ini.

“Malangnya, dalam urusan perpindahan pemain United te­lah menghantar orang yang salah untuk menguruskannya.

“Ole sedang cuba mengubah situasi ini, dia cuba menjadi se­perti (Alex) Ferguson, bercakap sendiri dengan pemain yang diinginkan,” katanya.

Tambahnya, United tidak memerlukan terlalu ramai pemain untuk menjadikannya sebuah pa­sukan yang kuat tetapi perlu fokus untuk mendapatkan pemain yang menjadi sasaran utama yang mampu mengubah perlawanan pada setiap aksi yang disertai.

“Setiap tahun kita memberikan impak di media sosial me­ngenai pasaran perpindahan pe­main, tetapi hakikatnya tiada apa yang menarik.

“Peminat perlu faham bahawa pasukan ini tidak memerlukan enam atau tujuh pemain baharu tapi sekurang-kurang berjaya menandatangani pemain yang disasarkan itu, namun itu juga tidak terjadi di United.

“Ketika di bawah Ferguson dan David Gill, berita mengenai pembelian pemain baharu Uni­ted tidak pernah berada dalam akhbar tetapi hasilnya, (Ro­bin) Van Persie, Evra, (Nemanja) Vi­dic dan (Rio) Ferdinand berada dalam pasukan ini.

“Segalanya berlaku dengan pantas, mereka bertemu pemain dan berbincang secara bersemuka.

“Tetapi kini, apa yang dilakukan oleh Matt Judge? Kita menghantar seorang peguam untuk berunding dan mereka sering bercakap mengenai nombor kera­na mereka bukan daripada dunia bola sepak menyebabkan United berdepan kesukaran kini,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI