fbpx

Terkejut ular sawa batik telan ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Syazwan (kiri) bersama Muhammad Sukri menunjukkan ular sawa batik yang kekenyangan selepas menelan tiga ekor ayam jantan di Kampung Pagar Museh, Batu Puteh pagi tadi.

Oleh AZAHAR HASHIM

KULIM – Seorang warga emas terkejut melihat seekor ular sawa batik kekenyangan selepas menelan tiga ekor ayam jantan di sebuah reban berhampiran rumahnya di Kampung Pagar Museh, Batu Puteh di sini hari ini.

Lelaki berusia 64 tahun itu menyedari kehadiran reptilia sepanjang dua meter dan seberat sembilan kilogram itu ketika mahu memberi makan ayam jantan miliknya kira-kira pukul 7.30 pagi.

Ketua Operasi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Karangan, Mohd. Syazwan Abd. Hamid
memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada pengadu kira-kira pukul 7.50 pagi.

“Pengadu memaklumkan dia menyedari kehadiran ular sawa itu ketika ingin memberi makanan kepada tiga ekor ayam jantannya yang dibela di dalam reban.

“Sebelum itu, pengadu sudah berasa pelik kerana ayam jantan itu tidak berkokok pada pagi ini seperti kebiasaannya,” katanya di sini hari ini.

Ujarnya, warga emas terbabit terkejut apabila menemui ular sawa tersebut yang kekenyangan selepas menelan semua ayam jantan miliknya.

Mohd. Syazwan berkata, dia bersama seorang lagi anggota PBS Karangan, Muhammad Sukri Mohd. Salleh bergegas ke tempat kejadian.

“Kami mengambil masa hanya kira-kira lima minit untuk menangkap ular tersebut kerana ia tidak terlalu agresif kerana kekenyangan,” ujarnya.

Tambahnya, ular sawa itu dilepaskan ke kawasan hutan yang menjadi habitat asalnya iaitu jauh dari kawasan penduduk.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI