fbpx

Sungai ‘nazak’ perlukan pembelaan sewajarnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN.

SUNGAI merupakan elemen alam sekitar yang penting kepada manusia.

Sejak dahulu lagi, manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan sungai yang mana kota purba dan sebahagian besar bandar moden tumbuh dan berkembang di muara-muara sungai.

Fungsi sungai yang paling utama adalah sebagai sumber bekalan air domestik dan komersial.

Kegunaan domestik merangkumi bekalan air bersih untuk minuman, membasuh pakaian dan mandian, manakala fungsi komersial adalah kegunaan dalam industri, pertanian dan akuakultur.

Pensyarah kanan di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr.Haliza Abdul Rahman berkata, secara keseluruhan terdapat 189 lembangan sungai utama Malaysia yang berfungsi sebagai nadi kehidupan yang membolehkan masyarakat menjalankan pelbagai aktiviti harian.

Justeru, kita perlu melestarikan dan menghargai setiap batang sungai yang ada kerana kepelbagaian fungsinya, khususnya dalam melestarikan sumber kehidupan di atas muka bumi.

“Melestarikan sungai bermaksud, membiarkan atau memulihara kualiti sungai supaya kekal seperti sedia kala melalui usaha ‘pemeliharaan’ dan ‘pemuliharaan’.

“Hal ini kerana, tanpa air, mustahil untuk manusia hidup dan meneruskan tamadun yang terus berkembang sehingga ke hari ini. Maka sungai tidak wajar dicemari dengan sewenang-wenangnya atas apa jua alasan, khususnya pembangunan yang tidak lestari,” katanya.

Namun begitu, kualiti air sungai di Malaysia semakin terancam dengan pelbagai bentuk pencemaran yang memberi gambaran masyarakat di negara ini masih kurang mengambil berat terhadap kesejahteraan sungai.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) misalnya, sebanyak 160 kilang telah diambil tindakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air sepanjang tempoh itu kerana melakukan pencemaran sungai.

Haliza menjelaskan, sungai tercemar digambarkan dengan airnya yang berwarna hitam, berkeladak, dipenuhi sampah sarap dan berbau busuk.

Tegasnya, kes pencemaran Sungai Kim-Kim di Johor adalah antara satu daripada pelbagai isu pencemaran sungai yang mendapat perhatian.

“Malahan kajian menunjukkan, lebih 80 peratus sungai di bandar-bandar utama di negara ini boleh dianggap ‘mati’ akibat pencemaran terutamanya sisa industri yang semakin meningkat.

“Ada sungai di negara ini berada pada tahap ‘nazak’ dengan dipenuhi sampah- sarap terutamanya plastik, botol-botol, tayar terpakai, malah membentuk pulau kecil menyebabkan air sungai hitam dan mengeluarkan bau busuk,” ujarnya.

 

GENERASI muda di negara ini perlu didedahkan tentang kepentingan kelestarian sungai.
–Gambar hiasan

 

Lima sungai yang paling teruk tercemar adalah Sungai Pinang dan Sungai Juru di Pulau Pinang, Sungai Klang dan Sungai Penchala di Kuala Lumpur serta Sungai Segget di Johor.

Di Malaysia, kualiti air sungai dinilai berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan dan diterjemahkan dalam bentuk Indeks Kualiti Air bagi mengkelaskan tahap kebersihan, kegunaan dan pencemaran air sungai sama ada bersih, sederhana tercemar atau tercemar.

“Natijahnya, apabila sungai tercemar, kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelajaan besar bagi menguruskan air mentah untuk dirawat, mencari sumber air alternatif seperti air bawah tanah, air laut disuling atau air hujan demi membekalkan bekalan air bersih.

“Malahan, rakyat turut terkesan kerana terpaksa membayar kos tinggi bagi menampung semula kos rawatan air di loji, menyebabkan akhirnya bil perkhidmatan air lebih mahal,” jelasnya.

Dalam pada itu, tiga punca utama pencemar sungai di Malaysia adalah buangan industri, terutamanya yang berasaskan pertanian dan pembuatan, aktiviti penternakan dan buangan domestik.

Efluen dan kumbahan daripada industri dan loji-loji pengolahan kumbahan yang mana kegagalan pihak kilang merawat sisa buangan dalam kolam takungan lebih awal juga menyumbang kadar pencemaran tinggi.

Kata Haliza, aktiviti penerokaan hutan yang agresif serta pembalakan tidak terkawal, di samping kegiatan perlombongan pasir di hulu sungai dan kawasan tadahan air turut menjejaskan kualiti air di sungai berhampiran.

Statistik oleh Jabatan Alam Sekitar mengenai status pencemaran 120 lembangan sungai utama di Malaysia daripada tahun 2005 hingga 2018 agak membimbangkan.

Sungai-sungai yang dikategorikan sebagai tercemar tidak banyak berubah sejak tahun 2005.

Justeru, masalah pencemaran sungai adalah isu yang amat mendesak dan memerlukan usaha holistik daripada pelbagai pihak ke arah penyelesaiannya.

“Kelestarian sungai tidak akan berjaya dicapai tanpa dukungan masyarakat. Selagi minda masyarakat tidak berubah, selagi itulah masalah pencemaran sungai tidak dapat diatasi dengan berkesan.

“Minda dan sikap masyarakat perlu diubah ke arah untuk memupuk rasa cinta dan keprihatinan terhadap usaha melestari khazanah alam ini.

“Antaranya melalui program pendidikan kesedaran alam sekitar dan penyampaian maklumat berkesan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI