Oleh ASLIZA MUSA
TAPAH – Pasangan suami isteri parah setelah kereta dinaiki mereka melanggar seekor babi hutan yang melintas jalan di Kilometer 78, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian pukul 7.20 pagi itu berlaku ketika mangsa, Baktiar Abu Bakar, 41, dan isteri, Nur Azlina Azrin Mohd. Zubir, 27, dalam perjalanan ke tempat kerja di Klinik Kesihatan Sungkai.
Katanya, Bakhtiar yang memandu kereta jenis Perodua Axia tidak sempat mengelak seekor babi yang melintas jalan hingga menyebabkan kenderaan dipandunya terbabas dan terbalik.
“Kedua-dua mangsa cedera di mana pemandu kenderaan mengalami patah paha kanan manakala isterinya pula retak tulang tengkuk.
“Mangsa yang dirawat di Hospital Tapah telah dipindahkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa masih belum membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K! ONLINE