fbpx

Saman LHDN, Ku Nan akhirnya selesai secara baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (baju kuning) ketika tiba di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Tuntutan saman pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM57.17 juta membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akhirnya selesai secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam S.Saravana Kumar yang mewakili Tengku Adnan atau Ku Nan selepas prosiding kes dalam kamar melalui penghakiman persetujuan yang kemudian direkodkan oleh Hakim Datuk Azimah Omar.

“Bagaimanapun terma-terma perjanjian dan jumlah yang perlu dibayar tidak dapat didedahkan,” kata Saravana Kumar.

Dalam prosiding itu LHDN diwakili Timbalan Peguam Hasil Dr. Hazlina Hussain dan dua Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad serta Al-Hummidallah Idrus.

Sebelum ini pada 2 september lalu, mahkamah sama memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk menyelesaikan kes termasuk tunggakan yang perlu dibayar.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN selaku plaintif memfailkan saman itu pada 24 Julai 2019, selepas mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Berdasarkan penyataan tuntutan, LHDN mendakwa, oleh kerana Tengku Adnan gagal membayar jumlah cukai pendapatan itu dalam tempoh 30 harı dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus sudah dikenakan.

Plaintif berkata defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari, menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Ia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI