Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Seorang remaja lelaki mengalami sesak nafas selepas terhidu asap dalam kejadian kebakaran yang berlaku di rumahnya di Lebuh Nibong, Bayan Baru di sini pagi tadi.
Mangsa berusia 13 tahun ketika itu dipercayai berada di dalam bilik tidurnya, namun berjaya keluar dari rumahnya ketika api mula marak.
Jurucakap bomba negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 7.05 pagi dan anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah Kelas A dengan anggaran peratusan kemusnahan adalah 100 peratus.
“Terdapat seorang remaja lelaki berusia 13 tahun mengalami sesak nafas akibat terhidu asap dalam kebakaran itu. Mangsa kemudiannya dibawa ke klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Menurutnya, anggota bomba masih lagi membuat kerja-kerja pemadaman api untuk mengawal kebakaran daripada merebak.
Operasi pemadaman api turut dibantu pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau dan Jalan Perak. – K! ONLINE