Oleh ZAKI SALLEH
TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengajak warga bandar itu untuk sama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan dengan penganjuran Projek Jom Plog iaitu beriadah sama ada berjogging atau berjalan sambil mengutip sampah secara sukarela.
Aktiviti ini bertujuan untuk menyemai sikap mengambil berat tentang kebersihan persekitaran serta mendidik masyarakat supaya ringan tulang dalam melaksanakan kerja-kerja amal.
MPT dalam satu kenyataan memberitahu, projek itu yang bermula Khamis ini juga sebagai inisiatif mengalakkan orang ramai mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan dan pada masa sama memelihara keindahan Taiping sebagai bandar warisan.
Menurut kenyataan tersebut, Taiping merupakan destinasi tumpuan pelancong dan pastinya kebersihan persekitaran perlu diberi perhatian.
“Projek Jom Plog ini adalah menggantikan aktiviti plogging sebelumnya yang diadakan secara mingguan sebelum bermulannya perintah kawalan pergerakan pada pertengahan bulan Mac lalu.
“Sesuai dengan langkah-langkah kawalan termasuk menjaga jarak fizikal, Jom Plog tidak memerlukan jumlah peserta yang ramai sebaliknya sukarelawan boleh melakukan plogging mengikut kelapangan masing-masing,” ujar kenyataan tersebut.
Jelas kenyataan itu lagi, peserta boleh memilih tarikh dan masa sendiri untuk melaksanakan Jom Plog serta boleh memilih satu dari empat lokasi plogging yang disenaraikan.
Setiap peserta yang telah berjaya menghabiskan sesi Jom Plog perlu berswafoto bersama-sama dengan bungkusan sampah yang telah dikutip berlatarkan pemidang yang disediakan di lokasi akhir.
Foto tersebut perlu hantar ke laman Facebook Program Inisiatif Komuniti Taiping sebagai bukti dan bagi membolehkan peserta mendapatkan potongan 50 peratus tiket masuk ke Zoo Taiping & Night Safari.
Orang ramai boleh mendapatkan kod QR untuk diimbas di Facebook dan Instagram MPT serta di beberapa premis produk pelancongan di bandar Taiping atau menghubungi Bahagian Korporat MPT di talian 05-8080 777.-K! ONLINE