KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur melupuskan pelbagai jenis dadah membabitkan siasatan sejak 30 tahun lalu yang bernilai RM9.91 juta hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pelupusan dadah itu melibatkan 5,251 kertas siasatan yang telah selesai proses perbicaraan bermula tahun 1988 hingga 2018.
“Dadah yang dilupuskan terdiri daripada ganja, methamphetamin, heroin, ketamin dan pelbagai jenis dadah sintetik.
“Kesemua dadah itu dilupuskan menggunakan khidmat syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd dan ini merupakan kali ke lima kita berkoloborasi dengan syarikat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kualiti Alam Sekitar, Mohd. Norsuradi Man berkata, pihaknya akan melupuskan 100 tan dadah setiap hari.
“Kita menggunakan loji penunuan yang menghasilkan tenaga hijau sekali gus mampu bekalkan elektrik kepada 9,000 rumah dalam satu masa,” ujarnya. – K! ONLINE