Oleh MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
ALOR SETAR – Seorang penolong pegawai tadbir di negeri ini mengalami kerugian sebanyak RM121,300 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank mendakwa kononnya mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi.
Mangsa yang berusia 43 tahun dan berasal dari Baling dekat sini menerima panggilan telefon daripada seorang wanita mengaku pegawai sebuah bank di Kuala Lumpur berhubung tunggakan pinjaman peribadi selama tiga bulan pada 28 Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa menafikan melakukan pinjaman peribadi tersebut sebelum panggilan disambung kepada seorang lagi suspek yang mengaku anggota polis berpangkat sarjan dari Balai Polis Seri Kembangan bagi membuat aduan tentang pinjaman itu.
“Suspek kemudiannya berpura-pura menghubungi Bahagian Pengurusan Maklumat Bukit Aman bagi membuat semakan pinjaman tersebut sebelum mangsa didapati terlibat dalam kes penggubahan wang haram.
“Panggilan itu disambung pula kepada seorang lagi suspek mengaku polis berpangkat inspektor dari Bahagian Penggubahan Wang Haram Bukit Aman yang meminta butiran peribadi serta akaun bank mangsa yang tidak aktif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, suspek seterusnya memberitahu panggilan akan disambungkan lagi kepada pegawai atasan agar mangsa boleh membuat rayuan untuk meringankan hukuman.
“Pada 30 Januari lalu, mangsa dihubungi seorang suspek yang mengaku pegawai atasan dari Bahagian Penggubahan Wang Haram Bukit Aman dan meminta mangsa pergi ke Agrobank bagi mengemas kini maklumat akaun banknya.
“Mangsa selepas itu diarahkan menukar nombor telefon kepada nombor diberikan suspek serta diminta mengeluarkan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk dipindahkan ke akaun Agrobank kononnya untuk pemantauan Bank Negara bagi mengesahkan wang itu bersih daripada wang haram,” ujarnya.
Menurut Elias, suspek selepas itu dihubungi setiap hari bagi meminta wang tambahan sehingga mangsa membuat beberapa pinjaman peribadi untuk dimasukkan ke dalam akaun Agrobank mangsa.
“Pada penghujung Jun lalu, suspek meminta mangsa menunggu hasil siasatan serta tidak membuat semakan ke atas akaun bank tersebut dengan alasan dikhuatiri mengganggu siasatan.
“Selepas hampir tiga bulan iaitu pada 20 September lalu, mangsa membuat semakan ke atas akaun bank itu dan mendapati terdapat 17 kali pemindahan wang secara atas talian mulai 30 Januari hingga 29 Jun lalu berjumlah RM121,300,” katanya.
Tambahnya, mangsa membuat laporan polis di Baling pada kelmarin dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE