fbpx

Nasib 180 ekor paus masih samar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SYDNEY – Sekurang-kurang­nya 90 ekor paus ditemui mati de­ngan 180 lagi terdampar di satu kawasan teluk di selatan Austra­lia dan satu ­operasi menyelamat dilancarkan semalam untuk menyelamatkan hidupan marin itu.

Saintis menyatakan dua kawanan besar paus jenis pilot itu terperangkap di atas tebing pasir di Pelabuhan Macquarie, pantai barat Tasmania.

Beberapa gambar menunjukkan hidupan marin berwarna hitam itu cuba bergerak di atas permukaan air cetek.

Ahli biologi marin kerajaan, Kris Carlyon berkata, hampir satu pertiga hidupan marin itu ditemui mati kelmarin dan usaha menyelamat agak mencabar serta mungkin mengambil masa selama beberapa hari.

Akses ke kawasan kawanan paus itu terdampar hanya boleh dibuat dengan menaiki bot sekali gus mengehadkan jumlah ­anggota penyelamat membantu operasi berkenaan.

Kira-kira 60 orang termasuk sukarelawan dan pekerja ternakan ikan turut terlibat dalam operasi menyelamat.

Pasukan penyelamat turut berdepan cuaca sejuk, basah dan kerap dibadai ombak.

“Berhubung kejadian jumlah paus terdampar di Tasmania, kali ini adalah yang paling mencabar,” kata Carlyon kepada wartawan di bandar berhampiran, Strahan.

Bagaimanapun, Carlyon me­­nyatakan sebahagian besar paus dalam keadaan separa tenggelam masih mampu hidup selama beberapa hari lagi ­semasa pasukan itu berusaha menyelamatkan kawanan itu. Cuaca juga diramal buruk dalam tempoh beberapa hari akan ­datang.

“Ia mungkin keadaan buruk bagi petugas-petugas penyelamat tetapi amat baik untuk kawanan paus kerana ­dapat mem­bantu badan haiwan itu kekal basah dan menyejukkan badan,” katanya.

Carlyon menyatakan kum­pulan petugas penyelamat­terpaksa membuat proses sa­ringan semasa menyelamatkan paus, memberi keutamaan terhadap yang masih sihat dan dapat diakses dengan paling mudah.

Kelmarin, lebih 30 ­bangkai paus ditemui dekat sebuah pantai di sini manakala 60 lagi terdampar di beting pasir, kini dipercayai sudah mati.

Sebaik sahaja paus-paus ter­dampar ditolak semula ke kawasan air, Carlyon berkata, me­reka berdepan cabaran besar untuk menghala kawanan marin itu keluar dari kawasan ­beting pasir ke laut terbuka.

Ahli sains masih belum me­nemui punca menyebabkan in­siden terdampar itu tetapi merasakan kawanan paus mungkin sesat selepas memburu makanan dekat kawasan perairan pantai. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI