KUALA LUMPUR – Polis percaya pembabitan kumpulan yang sama dalam kejadian rompak Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) kelmarin dengan beberapa kejadian rompakan di Ipoh dan Pulau Pinang.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, insiden itu dikaitkan selepas berdasarkan modus operandi digunakan yang sama.
“Ada sedikit persamaaan kes samun kelmarin dengan kejadian samun di beberapa negeri lain seperti Ipoh, Perak sebelum ini.
“Saya telah arahkan Ketua Polis Daerah Brickfields untuk membuat perancangan efektif dalam menangkap suspek yang terlibat sekali gus mencegah kejadian yang sama berulang,” katanya.
Beliau berkarta demikan pada sidang akhbar selepas majlis pelupusan barang kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas berhubung tindakan pemilik kenderaan yang membawa barangan berharga tidak menggunakan khidmat pengawal keselamatan, Saiful Azly berkata, pihaknya sudah menyarankan kepada pemilik kedai emas dan pengurup wang berlesen untuk menggunakan khidmat pengawal keselamatan.
“Polis sudah menasihati mereka termasuk mengadakan perbincangan jadi terpulang kepada mereka.
“Mungkin mereka sudah biasa bergerak tanpa iringan pengawal keselamatan,”ujarnya. – K! ONLINE