fbpx

Lima nelayan Vietnam ditahan sedang tangkap gamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Nur Syam Asmawie Yaacob (tengah) memerhatikan lima nelayan asing Vietnam yang ditangkap kerana mencuri gamat, di Pasir Puteh, hari ini.

Oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan berjaya menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam bersama empat awak-awak dan seorang tekong yang sedang menangkap gamat secara haram di perairan negara ini di sini semalam.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, Ops Kuda Laut itu dijalankan di lokasi 54.2 batu nautika dari muara Tok Bali sebelum mendapati sebuah bot nelayan berwarna kelabu dalam keadaan yang mencurigakan pada pukul 10.15 pagi.

Menurutnya, pada awalnya mereka bertindak agresif dengan menghanyutkan tali berukuran 100 meter panjang ke dalam air bagi menghalang pihak berkuasa menghampiri mereka.

“Pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati seramai lima nelayan berusia di antara 40 hingga 49 tahun warga Vietnam tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Nelayan terbabit menggunakan tangguk besi untuk menangkap gamat. Mereka bukan sahaja merompak hasil laut negara tetapi turut memusnahkan ekosistem dasar laut dan hidupannya,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kelantan di sini hari ini.

Muhd. Nur Syam berkata, pihaknya turut menemui 250 kilogram gamat basah yang dianggarkan bernilai RM2,500 yang boleh dipasarkan sehingga RM1,000 bagi setiap kilogram selepas dikeringkan.

“Rampasan bot dan peralatan menangguk serta gamat dianggarkan bernilai RM300, 000.

” Hasil risikan turut mendapati nelayan asing mampu mencuri sehingga tiga tan sehari gamat terpilih daripada gred A yang mungkin boleh membawa kepada kepupusan spesis hidupan itu sekiranya kegiatan itu tidak ditangani,”katanya.

Menurutnya, kes itu merupakan tangkapan ke 49 menerusi Ops Kuda Laut dengan jumlah keseluruhan tahanan seramai 544 orang yang majoritinya merupakan warga Vietnam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600, 000 kepada awak-awak jika disabitkan kesalahan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI