Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
SHAH ALAM – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan disahkan positif Covid-19 selepas pulang berkempen bagi Pilihan Raya Negeri ( PRN) Sabah.
Pengesahan itu dilakukan beliau sendiri menerusi ciapan di laman Twitternya pagi tadi.
“Positif Covid-19. Tiada simptom ketara kecuali penat, baru sahaja menerima panggilan dan akan menerima rawatan hari ini.
“Buat keputusan untuk mengambil ujian semalam di Kuala Lumpur sebagai langkah berjaga-jaga selepas kes melonjak naik kerana saya berkempen di Sabah,”katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon maaf sekiranya menimbulkan kesan kepada mana-mana pihak yang mempunyai kontak rapat dengannya.
Beberapa individu termasuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mendoakan kesihatannya.
“Saya doakan kerehatan dan kesembuhan segera untuk Saudara @ShahrilHamdan. Perjuangan belum selesai, namun istirehat tetap penting. Semoga rakan-rakan seperjuangan lainnya sihat dan sejahtera.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi berharap Shahril segera sembuh.
“Jaga diri bro, semoga cepat sembuh,” jelasnya.-K! ONLINE