MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
SHAH ALAM – Kegiatan sebuah premis kafeteria yang menukarnya menjadi pusat hiburan terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa di Jalan Setia Dagang, Setia Alam di sini kelmarin.
Serbuan selama sejam bermula pukul 1 pagi dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bersama Majlis Bandaraya Shah Alam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 42 pengunjung berusia 20 hingga 45 tahun dalam premis tersebut.
Katanya, kesemua mereka didapati telah melanggar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk tiada penjarakan fizikal.
“Sebanyak 42 kompaun telah dikeluarkan kepada pengunjung kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Bagaimanapun, tiada barang terlarang dijumpai dalam operasi tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau menegaskan, MBSA turut mengeluarkan dua kompaun selain tiga notis amaran diberikan kepada pemilik premis. – K!ONLINE