KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Ogos 2020 menurun 1.4 peratus kepada 120.1 berbanding 121.8 pada bulan sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia dipengaruhi penurunan indeks pengangkutan (-9.9 peratus), perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (-3.0 peratus), pakaian & kasut (-0.6 peratus) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (-0.1 peratus)
Menurut beliau, kesemua item berkenaan menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.
“IHP tanpa bahan api yang meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, RON97 dan diesel kekal berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus pada Ogos berbanding Julai 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Sementara itu, dari bulan ke bulan, IHP pada bulan Ogos meningkat 0.2 peratus berbanding Julai 2020.
Peningkatan disumbangkan oleh pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.7 peratus), pengangkutan (0.4 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.2 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (0.1 peratus), minuman alkohol dan tembakau (0.1 peratus), kesihatan (0.1 peratus) serta restoran dan hotel (0.1 peratus).
Indeks teras yang meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal pula meningkat 1.1 peratus pada Ogos 2020 berbanding bulan yang sama tahun 2019.