PENYANYI Hyejeong menamatkan teka-teki peminat berkenaan perkembangan terkininya selepas dua bulan kumpulan AOA terjebak dengan kontroversi buli.
Menerusi Instagramnya, Hyejeong memuat naik sekeping gambar swafoto dengan kapsyen memberi bayangan dirinya berada dalam keadaan baik.
“Hari ini saya sedang menjalani penggambaran dan harap semuanya berjalan lancar. Cuaca sangat cantik. Saya rindukan kalian #ELVIS,” tulisnya.
Selepas perkongsian itu, peminat menarik nafas lega kerana Hyejeong berada dalam keadaan baik pasca kemelut yang dihadapi kumpulannya.
Malah peminat juga meletakkan harapan dan jangkaan tinggi untuk menantikan produk terbaharu daripada penyanyi itu.
“Sangat gembira mendapat tahu perkembangan terkini Hyejeong selepas sekian lama. Sebagai peminat, saya risau dengan keadaan anggota lain AOA. Diharapkan dia terus kuat,” tulis seorang peminat.
Kali terakhir Hyejeong terlibat dalam lakonan ialah pada Jun lalu menerusi drama My Unfamiliar Family.