Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KLANG – Seorang suri rumah tergamam selepas menyedari rumahnya di sekitar USJ 6, Subang Jaya dekat sini ‘dikunjungi’ seekor burung helang yang tersesat semalam.
Burung seberat 400 gram (g) itu ditemui terperangkap dalam sebuah bilik di rumah teres dua tingkat tersebut kira-kira pukul 6.30 petang.
Ketua Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Klang, Leftenan (PA) Muhammad Najib Mohamad Isahak berkata, seramai lima anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.43 petang daripada pemilik rumah berusia 50-an.
Katanya, helang itu dipercayai memasuki bilik rumah tersebut menerusi tingkap sebelum terperangkap kerana gagal keluar.
“Setibanya di bilik tingkat atas rumah itu, helang tersebut dilihat berada di atas alat penghawa dingin.
“Anggota kami kemudian segera menggunakan alat penjerut untuk menangkap burung itu yang mengambil masa selama lapan minit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ujar beliau, operasi menangkap mengalami kesukitan susulan burung itu cuba terbang keluar daripada bilik rumah berkenaan.
Jelas Muhammad Najib, helang itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum dilepaskan di kawasan sekitar. -K!ONLINE