Oleh SUBKHI SUDARJI
PUTRAJAYA – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kononnya mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan hanyalah omongan kosong.
Jelasnya, jika benar Anwar mempunyai sokongan majoriti, dia perlulah mengemukakan satu persatu bukti senarai nama Ahli Parlimen yang dikatakan memihak kepadanya.
“Selagi mana beliau (Anwar) tidak menunjukkan satu persatu nama-nama dan bilangan Ahli Parlimen yang dikatakan bersama beliau, selagi itu, ia hanyalah omongan kosong.
“Buat masa ini, apa yang dibangkitkan adalah omongan kosong, kita tunggu dan lihat sama ada apa yang dicakapkan itu benar atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas program Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) 2020 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Anwar yang mendakwa sudah mendapat majoriti kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Namun, Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak menyebut berapa kerusi yang diperoleh dan memaklumkan akan mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat bagi memaklumkan sokongan yang diperoleh. – K! ONLINE