Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT
KLUANG – Geng samun menyasarkan Yamaha 125z dikesan aktif melakukan kegiatan jenayah di daerah ini apabila lapan motosikal jenis itu dilaporkan hilang sejak Julai lalu.
Harga yang tinggi jika dijual semula selain mempunyai peminat tersendiri, dipercayai menjadi motif penyamun menyasarkan motosikal jenis itu.
Seorang mekanik kereta, Muhamad Danial Suhaime, 21, berkata, motosikalnya dikesan hilang awal pagi semalam di rumahnya di Taman Seri Impian di sini.
“Saya sedang mandi untuk bersiap ke tempat kerja apabila ayah menyedari motosikal saya lesap di parkir rumah.
“Pagar rumah terbuka luas walaupun udah dikunci sebelum kami sekeluarga tidur. Begitu juga motosikal saya turut dikunci tetapi penyamun boleh juga melarikannya,” katanya ketika ditemui di sini.
Muhamad Danial berkata, dia kerugian RM14,000 kerana motosikal itu baru sahaja selesai dibayar secara ansuran.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, usaha mengesan suspek giat dijalankan.
“Dari Julai hingga hari ini ada lapan kes hilang motosikal Yamaha 125Z.
“Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dan menggunakan kunci tambahan motosikal,” katanya.-K! ONLINE