PERTUBUHAN Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan salah satu daripada 10 punca utama kematian di dunia adalah bunuh diri.
Mereka yang terlibat ialah remaja dan belia dalam lingkungan usia 15 hingga 29 tahun.
Laporan tersebut juga menyebutkan bahawa bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 20 orang ahli keluarga atau rakan-rakan mangsa akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.
Bahkan secara puratanya laporan tersebut menyebut satu kematian akan berlaku setiap 40 saat dan sekiranya angka tersebut dihitung, dianggarkan hampir 800,000 nyawa terkorban setiap tahun akibat perbuatan bunuh diri ini.
Di negara kita, berita-berita mengenai bunuh diri atau cubaan bunuh diri kerap dilaporkan. Di utara tanah air, kebiasaannya Jambatan Pulau Pinang sering menjadi lokasi untuk membunuh diri, manakala di Perak, bangunan tinggi seperti pasar raya besar turut menjadi ‘pilihan’.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr. Loo Tsui Huei, bunuh diri bukanlah masalah peribadi tetapi masalah sejagat.
Katanya, semua pihak perlu mengambil serius terhadap usaha menangani kesihatan mental.
“Kejadian bunuh diri berlaku disebabkan banyak faktor dan ia cukup kompleks. Antaranya termasuklah faktor genetik, persekitaran, psikologi khususnya apabila seringkali ada pemikiran negatif, tekanan dan masalah serta faktor sosial dan budaya.
“Perkembangan dan pengaruh media sosial yang menjadi pergantungan masyarakat pada hari ini juga turut menyumbang kepada peningkatan kes bunuh diri khususnya melibatkan para remaja,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Tsui Huei berkata, golongan remaja lebih mudah terpengaruh untuk mengikuti apa yang dipaparkan di media sosial.
Katanya, masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan mereka khususnya dalam memberikan sokongan dan mendengar luahan golongan tersebut.
Katanya, bunuh diri tidak berlaku dalam kalangan mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental semata-mata sebaliknya boleh berlaku kepada mereka yang tidak menghadapi masalah tersebut.
“Golongan yang menghadapi masalah kesihatan mental mungkin akan mempunyai peratusan lebih tinggi, akan tetapi yang tidak mempunyai masalah juga mengambil tindakan bunuh diri jika berdepan masalah yang tiada jalan penyelesaian,” katanya.
Katanya, apa yang paling penting ialah segera mendapatkan rawatan dan jangan malu untuk meluahkan rasa yang dialami.
Katanya lagi, melalui pemeriksaan profesional, tahap kesihatan mental seseorang akan dapat disaring dan ditangani sebaiknya melalui pengambilan ubatan yang sesuai selain sokongan yang kuat dari keluarga dan mereka yang berada di persekitaran pesakit.
“Nasihat saya, sesiapa sahaja yang sedang alami gangguan mental jangan risau, jangan malu dan jangan rasa hanya kita yang mengalami situasi seperti itu, ada ramai yang mengalami masalah sama, ia bukan menjadi satu kesalahan atau satu kelemahan personaliti sebaliknya dapatkan rawatan dengan segera.
“Hubungi kaunselor, Befriender atau dapatkan khidmat nasihat terus dengan berjumpa doktor atau terus ke Jabatan Kecemasan hospital jika keadaan sangat terdesak. Masyarakat sekeliling pula berilah sokongan yang sepenuhnya kerana ia sangat membantu dalam pemulihan pesakit,” katanya.