DORTMUND – Pengarah Sukan Borussia Dortmund, Sebastian Kehl mengakui pintu sudah tertutup rapat untuk mana-mana pasukan yang mahu menandatangani khidmat pemain sayap sensasi, Jadon Sancho pada jendela perpindahan kali ini.
Difahamkan, kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United sangat terdesak untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa England itu tetapi tidak mahu mengeluarkan dana sebanyak €120 juta (RM527.1 juta) seperti yang diminta Dortmund.
Kata Kehl, Sancho yang juga bekas pemain Manchester City tidak memikirkan lagi tentang penghijrahan dan kini mahu fokus membantu pasukan untuk mengharungi saingan musim baharu yang sudah bermula sejak minggu lalu.
“Sancho sangat gembira untuk kekal dan memberi komitmen penuh pada sesi latihan selain tidak mempunyai masalah jika perlu diturunkan dalam kesebelasan utama kerana dia seorang yang cukup profesional.
“Namun, saya tidak menolak dia akan berhijrah daripada pasukan kami pada masa depan tetapi bukan pada jendela perpindahan kali ini kerana pintu itu saya anggap sudah tertutup. Pengurusan sangat gembira apabila kami berjaya mengekalkan khidmatnya semusim lagi.
“Secara jujur, pasukan Dortmund tanpa Sancho akan menjadi tempang kerana dia kini sudah menjadi pemain utama yang kami boleh sandarkan ketika pasukan terdesak memburu kemenangan,” kata Kehl.
Sebagai rekod, Sancho yang kini berusia 20 tahun telah bersama dengan Dortmund sejak 2017 selepas pasukan Bundesliga itu mengeluarkan dana sebanyak €8 juta (RM38.9 juta) untuk memancing khidmatnya daripada kelab The Citizens. – AGENSI