WOLVERHAMPTON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui beliau memang menjangkakan skuad kendaliannya akan berdepan masalah ketika menang 3-1 ke atas Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux awal pagi semalam.
Pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, City berjaya memperoleh tiga mata menerusi jaringan Kevin De Bruyne, Phil Foden dan Gabriel Jesus, sementara gol Wolves dijaringkan Raul Jimenez.
Meskipun memulakan aksi dengan cemerlang pada awal permainan, namun aksi The Citizens sedikit tenggelam pada separuh masa kedua apabila Wolves lebih banyak menguasai perlawanan.
“Satu kemenangan yang sangat baik. Memang saya sudah jangkakan aksi seperti ini berdasarkan situasi yang kami alami dalam tempoh dua minggu ini. Saya akui kami sedikit bergelut pada perlawanan hari ini (semalam).
“Sekarang kami berjaya dapatkan tiga mata, jadi masih ada 111 mata yang perlu direbut sepanjang musim ini. Bagi saya, ini adalah permulaan baik untuk kami,” kata Guardiola.
Sementara itu, beliau turut memuji aksi yang ditampilkan Foden pada perlawanan tersebut, lebih-lebih lagi pemain antarabangsa England itu menjaringkan satu gol pada perlawanan tersebut.
“Dia bermain dengan sangat baik, terutamanya pada separuh masa kedua dan berjaya jaringkan gol. Dia banyak membantu pasukan untuk mengekalkan penguasaan bola.
“Biarpun masih muda tetapi dia berjaya menunjukkan kematangan,” ujarnya. – AGENSI