KUALA TERENGGANU – Sebuah bot nelayan Vietnam yang dipercayai sarat dengan hasil ikan karam selepas mengalami kebocoran serius ketika dikejar kapal peronda Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Terengganu pada kelmarin.
Terdahulu, Kapal Maritim (KM) Langkawi yang melakukan rondaan telah terserempal dengan bot nelayan Vietnam itu sedang leka menangkap ikan menggunakan pukat gading bersama sebuah bot lain dari negara sama pada kedudukan kira-kira 94 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada pukul 9 pagi.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kedua-dua bot nelayan itu bertindak memotong pukat gading sebelum cuba melepaskan diri.
“Hanya sebuah berjaya melepaskan diri sebelum mengalami kebocoran serius lalu karam kira-kira 15 minit selepas dikejar KM Langkawi.
“Anggota penguat kuasa APMM berkenaan berjaya menyelamatkan 14 nelayan Vietnam terlibat sebelum bertindak menahan mereka,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.
Muhammad Sufi berkata, pemeriksaan mendapati kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 52 tahun tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
Menurut beliau, sebuah bot kecil yang hanya membawa bekalan diesel sebanyak 1,000 liter dianggarkan bernilai RM3 juta telah ditunda ke Jeti Pejabat Maritim Terengganu di sini untuk disita.
“Kesemua suspek nelayan Vietnam terlibat ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963.
“Setakat ini Ops. Kuda Laut yang dilancarkan sejak 27 Jun lalu berjaya menahan 558 nelayan Vietnam dan 49 bot melibatkan rampasan hampir RM100 juta,” katanya. – K! ONLINE