KUALA LUMPUR – Orang ramai boleh menyaksikan barisan jentera baharu BMW yang disamari dengan karya seni perusahaan tempatan, kumpulan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi berkata, barisan kenderaan BMW tersebut akan dipandu di jalan-jalan raya di sini, sekali gus membuat penampilan sulung di negara ini.
Menurutnya,setiap kenderaan itu akan disamari dengan karya seni yang unik disumbang oleh kumpulan seperti Komuniti Tukang Jahit, Changgih Designs, INKAA serta Kanoe yang telah mengerahkan inisiatif ketika wabak Covid-19 berleluasa di Malaysia.
“Covid-19 menduga kita semua dari pelbagai sudut, namun kami di BMW telah menyaksikan ramai individu serta perniagaan yang telah membuat penyesuaian untuk berjaya mengharungi detik yang mencabar ini. Kami tersentuh dengan semangat juang mereka.
“Menerusi usaha sama yang dijalin dengan perusahaan tempatan yang sedang membangun, kami ingin mengetengahkan jiwa kebebasan, keazaman dan kebingkasan yang telah menunjangi kejayaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menerusi kerjasama berkenaan, setiap perusahaan tempatan tersebut telah menggubah satu karya seni yang unik bagi mereka.
Orang ramai boleh melayari laman rasmi Facebook atau Instagram BMW Malaysia untuk berpeluang memenangi barangan BMW eksklusif yang dihasilkan melalui kolaborasi dengan Komuniti Tukang Jahit, Changgih Designs, INKAA dan Kanoe. – K! ONLINE