MUNICH – Seorang bayi perempuan yang lahir di dalam sebuah pesawat komersial EgyptAir dihadiahkan tiket penerbangan percuma seumur hidup, lapor portal Daily Star kelmarin.
Penumpang wanita warga Yemen, Hiyam Nasr Naji Daaban melahirkan bayinya pada 1 September lalu pada ketinggian kira-kira 610 meter, semasa penerbangan EgyptAir MS777 dari Kaherah ke London.
Juruterbang segera menukar laluan penerbangan ke Munich tetapi Hiyam Nasr tidak mampu bertahan lalu bersalin sebelum pesawat mendarat di bandar Jerman itu.
Seorang doktor yang berada di dalam pesawat membantu menyambut bayi bertuah itu dengan bantuan penumpang lain.
Syarikat penerbangan EgyptAir membuat pengumuman dan mengucapkan tahniah kepada ibu dan bayi berkenaan di Twitter.
“Kami berbesar hati dengan kelahiran penumpang kecil di dalam pesawat EgyptAir semasa penerbangan dari Kaherah ke London baru-baru ini.
“Pengerusi Holding Company for Egypt, Rushdi Zakaria turut mengucapkan tahniah kepada Hiyam Nasr dan ingin memberi tiket penerbangan EgyptAir percuma seumur hidup untuk bayinya,” menurut perkongsian itu. – Agensi