fbpx

Agong nasihati rakyat untuk bertenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah

KUALA LUMPUR – Majlis mengadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang dijadualkan berlangsung semalam telah ditangguhkan susulan kegeringan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istana Negara menerusi satu kenyataan berkata, ketika ini, Al-Sultan Abdullah akan terus menjalani rawatan di bawah pengawasan para pakar perubatan di Institut Jantung Negara.

“Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Daim Zainuddin, para Jemaah Menteri Kabinet dan individu-individu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri dengan mematuhi prosedur operasi standard kerana negara masih menghadapi ancaman penularan Covid-19,” katanya.

Jelas kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah kepada semua pihak untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara yang dicintai bersama semoga kita dikurniakan keberkatan daripada Allah S.W.T.

“Baginda turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi daripada segala bentuk ancaman dan dikurniakan kemakmuran yang berpanjangan,” ujar kenyataan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI