SEBERANG PERAI – Sebanyak kira-kira 640 kilogram cili merah besar dari China dirampas oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di pintu masuk Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini semalam.
Jurucakap Maqis negeri berkata, rampasan itu dibuat semasa pemeriksaan pihaknya kira-kira pukul 8.40 pagi selepas produk itu didapati diimport tanpa permit yang sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 102 bakul cili merah besar di dalam sebuah kontena sayuran dari China yang tidak mempunyai permit import.
“Cili yang dirampas itu dianggarkan seberat 640.4 kilogram (kg) dan bernilai RM3,301.64,” katanya kepada di sini hari ini.
Jurucakap itu berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728].
Menurutnya, hasil pertanian berkenaan memerlukan permit import bagi mengawal perosak lalat buah cili atau Bactrocera latifrons dan memastikan penggunaan sisa racun makhluk perosak yang mematuhi piawaian. – K! ONLINE