ALOR SETAR – Lebih 300 penduduk di Rumah Pangsa Tongkang Yard di Seberang Perak di sini dikenakan pengawasan lebih ketat bermula pukul 6 pagi ini selepas 10 kes positif dilaporkan berlaku di kawasan perumahan tersebut.
Kawasan Seberang Perak terletak dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran Kota Setar susulan penularan Covid-19 bagi Kluster Sungai sejak 11 September lalu.
Tinjauan yang dilakukan mendapati laluan dan pintu pagar utama masuk ke rumah pangsa berkenaan ditutup dengan kawalan ketat anggota polis dan tentera sejak pukul 6 pagi tadi.
Selain itu, petugas Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dilihat melakukan ujian saringan terhadap penduduk di khemah dalam pekarangan perumahan tersebut selain proses sanitasi turut dilakukan di situ.
Ketua penduduk rumah pangsa berkenaan, Datuk Ahmad Mansor berkata, kesemua penduduk diarah menjalani saringan dan dipakaikan gelang merah jambu.
“Kami sama sekali tidak dibenarkan keluar dari rumah kerana kes jangkitan di perumahan ini sudah mencecah 10 orang.
“Kawasan rumah kini dalam kawalan ketat pihak polis dan tentera bagi mengelakkan ada aktiviti keluar masuk dari kawasan ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.-K! ONLINE