fbpx

10.6 juta rakyat bakal nikmati BPN 2.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Infografik BPN 2.0 yang dilancarkan Perdana Menteri.

PUTRAJAYA – Kerajaan menyediakan bantuan tambahan khusus di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) dengan peruntukan sebanyak RM10 bilion meliputi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0, Program Subsidi Upah 2.0 dan Geran Khas Prihatin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak RM7 bilion diperuntukan di bawah BPN 2.0 yang akan memanfaatkan 10.6 juta penerima daripada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) bujang dan bekeluarga serta kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) bujang dan bekeluarga.

Beliau berkata, kira-kira 3.7 juta isi rumah B40 akan menerima bantuan sebanyak RM1,000, manakala 3.8 juta individu bujang dalam kumpulan sama akan menerima bantuan RM500.

“Kumpulan B40 akan menerima bayaran secara ansuran dengan bayaran pertama sebanyak RM700 akan dibuat Oktober depan dan baki sebanyak RM300 dibayar Januari tahun depan,” katanya ketika mengumumkan pakej Kita Prihatin di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kira-kira 3.1 juta isi rumah M40 tidak terkecuali dan mereka akan mendapat bayaran RM600 bagi yang bekeluarga, manakala RM300 untuk individu bujang.

Menurutnya, kerajaan akan menyalurkan bantuan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang telah diluluskan di bawah BPN sebelum ini.

“Tiada permohonan yang perlu dibuat untuk mendapatkan bantuan BPN 2.0. Bagi mereka yang layak, tetapi tidak pernah menerima BPN, kerajaan akan memberi peluang untuk rayuan dan permohonan baharu,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI