KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan, vaksin untuk Covid-19 mesti diberikan kepada semua negara selepas ditemui.
Katanya, wabak yang telah mengambil nyawa ramai orang itu mendedahkan kapasiti dan keberkesanan sistem penjagaan kesihatan dunia selain memberikan impak serius kepada aspek sosio ekonomi.
“Tidak patut ada diskriminasi atau sebagainya. Memandang Covid-19 tidak mendiskriminasi, maka respon kita juga semestinya tidak wajar (bersifat diskriminasi),” katanya dalam ucapan bersempena Ulang Tahun ke-75 Pertubuhan Bangsa-banga Bersatu (PBB).
Ini merupakan kali pertama Muhyiddin menyampaikan ucapan di PBB selepas mengambil alih sebagai Perdana Menteri.
Ucapan itu dirakamkan di pejabat beliau di Putrajaya.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, meskipun pencapaian organisasi itu di pelbagai aspek terutama pembangunan ekonomi dan sosial diiktiraf, negara anggota perlu bersikap jujur dan mengakui kegagalan PBB dalam menyelamat beberapa generasi daripada kekejaman perang. -K! ONLINE