KUALA LUMPUR- Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memohon maaf kepada anggota keselamatan dan ahli keluarga mereka atas kenyataan yang dikeluarkan bekas Menteri Pelancongan, Mohamaddin Ketapi bahawa insiden di Lahad Datu hanyalah satu sandiwara.
“Kenyataan beliau yang dikeluarkan secara spontan telah disalah erti kan dan sama sekali tidak berniat untuk menghina perjuangan para perajurit dan anggota keselamatan kita yang mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan rakyat dan negara ini.
“Sebagai bekas Timbalan Menteri Pertahanan, saya amat memahami keperitan yang terpaksa ditempuh anggota keselamatan ketika menjaga sempadan negara terutama di pos-pos kawalan Sabah yang terpencil dan serba kekurangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mohammadin baru-baru ini yang mengatakan pasukan keselamatan berperang dengan ‘ayam’ dan ‘anjing’ di Lahad Datu.
Ujar Shafie, setiap anggota yang berada di perbatasan bukan sahaja bersedia mengorbankan nyawa demi keselamatan rakyat Malaysia, malah mereka juga terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga sepanjang tempoh bertugas.
“Dalam berdepan pandemik Covid-19, saya selaku Ketua Menteri Sabah turut memahami dan menghargai peranan anggota keselamatan kita sebagai frontliners menentang musuh yang tidak kelihatan tetapi amat berbahaya.
“Atas rasa tanggungjawab itu saya telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta dana kerajaan negeri untuk diagih-agihkan kepada semua frontliners termasuk RM1 juta kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RM1 juta kepada Kem Lok Kawi. Sumbangan ini tidak dilakukan di mana-mana negeri di Malaysia,” jelasnya.
Difahamkan, sumbangan itu diberikan pada bulan Mac lalu.
Katanya, jumlah tersebut tidaklah banyak jika dibandingkan dengan risiko dan pengorbanan wira-wira negara ini, namun itu membuktikan komitmen Kerajaan Sabah meskipun agensi keselamatan di bawah bidang kuasa Persekutuan. -K! ONLINE