SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjaya membongkar cubaan seorang lelaki yang juga ketua ajaran sesat selepas didakwa mahu menghidupkan semula fahaman ‘Rasul Melayu’ yang dikesan kembali aktif sejak April lalu.
Dalam operasi bermula pukul 9 malam kelmarin, pihak berkuasa menahan lelaki berusia 70 tahun itu yang bertindak sebagai ketua ‘Rasul Melayu’ bersama 16 pengikutnya terdiri daripada lapan lelaki dan lapan perempuan yang berusia 14 hingga 70 tahun.
Kesemua mereka ditangkap dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di Kemensah, Hulu Klang; Sungai Long, Kajang dan Keramat, Kuala Lumpur.
Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, risikan yang dibuat pasukannya mendapati fahaman ajaran itu disebarkan dalam kalangan pengikut seramai 97 orang menerusi pembentukan kumpulan aplikasi laman sosial Facebook dan WhatsApp.
“Sewaktu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kemensah, kita mendapati lelaki terbabit sedang berhimpun dan bermesyuarat bersama pengikutnya.
“Dalam operasi itu, kita telah menyita beberapa buku, telefon bimbit, komputer riba, al-Quran terjemahan dan risalah berkaitan ajaran tersebut.
“JAIS akan mengesan saki baki kumpulan tersebut nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis mesra media di sini semalam.
Ajaran ‘Rasul Melayu’ yang dibawa lelaki terbabit pernah difatwakan sesat pada 28 Mac 1991 dan diwartakan pada 29 Ogos 1991 oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor.
Antara perkara yang dilakukan lelaki itu adalah mengaku dirinya sebagai ‘Rasul’ atau ‘Utusan Allah’ selain mengaku menerima wahyu Allah yang diturunkan di Bukit Kemensah.
Ajaran ‘Rasul Melayu’ juga tidak mewajibkan sembahyang lima waktu dan memadai dengan membuat kebaikan serta menjauhkan diri daripada perkara mungkar.
Susulan tindakan yang dilakukan lelaki tersebut, dia telah ditangkap dan didakwa sebelum dipenjara selama 10 tahun bersabit kes penyebaran ajaran sesat oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada Oktober 2009.
Bagaimanapun, pada 16 Mei 2016, lelaki terbabit telah dibebaskan dengan parol dan mengisytiharkan dirinya bertaubat.
Mengulas lanjut, Mohd. Shahzihan menegaskan kesemua tangkapan yang dibuat kelmarin akan disiasat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Doktrin Palsu), Seksyen 8, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Dakwaan Palsu), Seksyen 12(c), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Menghina Pihak Berkuasa Agama).
“Mereka juga akan turut didakwa mengikut Seksyen 13, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Pendapat yang Bertentangan Dengan Fatwa), Seksyen 16, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Penerbitan Agama yang Bertentangan Dengan Hukum Syarak) dan Seksyen 52, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Percubaan),” ujarnya.
Beliau mendedahkan, sebanyak 17 lagi ajaran sesat sedang aktif di negeri ini dan pihaknya sedang mengumpul maklumat sebelum melakukan sebarang tangkapan.