PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo mengakui dia tidak menerima sebarang amaran mengenai penalti selepas dikesan melebihi had trek pada perlumbaan Grand Prix (GP) Emilia Romagna, Itali kelmarin.
Akibat masalah itu, Quartararo tidak mengambil long lap penalti hingga menyebabkan pengarah perlumbaan memutuskan dia dikenakan penalti tiga saat sejurus tamat perlumbaan.
Quartararo yang sepatutnya menaiki podium tempat ketiga di Litar Misano itu terpaksa akur sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.
Pelumba Red Bull KTM, Pol Espargaro menaiki podium tempat ketiga selepas Quartararo dikenakan penalti kerana melebihi had trek di selekoh pertama.
“Saya gembira dengan perlumbaan kerana penting untuk berada di tempat ketiga setelah bekerja keras sepanjang minggu ini.
“Bagaimanapun, saya dikenakan long lap penalti tetapi saya tidak menerima sebarang amaran di papan pemuka, jadi saya agak terkejut dengan keputusan tersebut.
“Saya sedar telah melepasi had di trek tetapi dua yang terakhir saya tidak tahu di mana ia berlaku pada masa itu. Saya sangat kecewa kerana dikenakan penalti.
“Secara keseluruhan saya sangat gembira kerana jentera begitu sempurna hingga membolehkan saya berjuang menaiki podium hari ini. Saya akan bekerja keras menjelang perlumbaan akan datang di Barcelona,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.