KEYAKINAN pasukan Pulau Pinang semakin memuncak dalam pemburuan gelaran juara Liga Premier buat kali pertama selepas cemerlang dengan rekod bersih tanpa kalah dalam lapan perlawanan setakat ini.
Skuad kendalian Manzoor Azwira Abdul Wahid kekal di tangga teratas liga selepas menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur, Sabtu lalu dan mengumpul 20 mata setakat ini, namun itu masih belum menjamin trofi Liga Premier musim ini bakal menjadi milik mereka.
Jelas Manzoor, Kuala Lumpur yang kini di tangga kedua masih berpeluang untuk mengejar kedudukan takhta liga sekiranya Pulau Pinang gagal mengekalkan momentum kemenangan dalam baki tiga perlawanan akan datang memandangkan dua pasukan ini hanya dipisahkan dengan tiga mata.
Justeru, amat penting untuk barisan pemain kekal fokus bagi memastikan pasukan kekal dengan rekod bersih tanpa kalah apabila bakal berdepan UKM FC, Kelantan United dan Terengganu FC II selepas ini.
“Saya bersyukur kerana kita akhirnya dapat tiga mata kerana saingan daripada Kuala Lumpur sebenarnya agak kuat dan ia bukan satu perlawanan mudah.
“Tetapi, Pulau Pinang belum lagi bergelar juara Liga Premier dan tiga perlawanan lagi amat penting kerana tidak mustahil Kuala Lumpur boleh menang untuk mengejar kedudukan kami.
“Kami akan cuba pertahankan kedudukan ini daripada segi jaringan dan jumlah mata untuk memastikan kita betul-betul sah menjadi juara nanti,” katanya.