Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Sebanyak 35 laporan diterima polis Sabah setakat ini berkaitan penghinaan seorang bekas menteri ke atas anggota kesalamatan bertugas ketika Op Daulat Lahad Datu 2013.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, menerusi jumlah itu, sebanyak 28 laporan dibuat di Sabah manakala tujuh lagi laporan di Semenanjung.
“Semua laporan adalah berkaitan ceramah yang dilakukan bekas menteri yang juga calon Dewan Undang Negeri (DUN) Segama di gelanggang futsal Kampung Wawasan, Lahad Datu Ahad lalu.
“Siasat berkaitan kes ini dibuat mengikut Seksyen 500, Seksyen 505 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman juga bakal mengambil alih sepenuhnya siasatan yang akan dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan pengundian awal di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.
Dalam pada itu, Hazani berkata, siasatan akan dilaksanakan secara profesional.
“Kertas siastaan akan dihantar ke peguam negara untuk arahan selanjutnya apabila selesai.
“Kita akan panggil calon terbabit pada bila-bila masa sahaja untuk memberi keterangan namun sebolehnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) agar tidak mengganggu proses kempen dan pengundian,” ujar beliau.
Sementara itu, ditanya berkaitan proses pengundian awal, Hazani berkata, situasi setakat ini dalam keadaan baik dan setakat hari ini seramai 11,423 warga polis yang terdiri daripada pegawai, anggota dan kakitangan awam serta keluarga keluar mengundi di semua pusat mengundi di tetapkan di seluruh negeri. -K! ONLINE