PARIS – Pelumba muda Slovenia, Tadej Pogacar melakar sejarah tersendiri apabila melakukan kejutan meraih kemenangan di Tour de France, sekali gus dinobatkan selaku pelumba termuda muncul juara saingan berprestij itu pada usia 21 tahun.
Pogacar menjadi juara termuda saingan itu sejak 1904 dan menjadi kebanggaan Slovenia selepas menjadi wakil pertama negara itu meraih kemenangan di Tour de France.
Pelumba pasukan UAE Team Emirates itu melakukan kejutan selepas mengatasi rakan senegaranya, Primoz Roglic di peringkat ke-20 yang mendominasi jersi kuning hampir keseluruhan peringkat perlumbaan sebelum ini.
Pogacar meninggalkan Roglic dengan perbezaan 59 saat selepas melakukan kayuhan 87 jam 20 minit 13 jam di sepanjang 21 peringkat perlumbaan.
Lebih manis, Pogacar turut memenangi jersi raja bukit, jersi putih untuk pelumba muda terbaik dan yang paling unggul, jersi kuning untuk juara keseluruhan.
Hasil kemenangan tersebut, Pogacar membawa pulang wang tunai berjumlah €623,930 (RM3.04 juta) hasil kemenangannya itu.
“Saya tak mampu nak ungkapkan perasaan saya ketika ini kerana kemenangan di Tour de France sangat luar biasa. Menaiki podium sebagai pemenang merupakan perkara yang saya nanti-nantikan dan tidak sangka mampu mengecapi kejayaan seperti ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan yang membantu saya. Tiga minggu yang tidak dapat saya lupakan dengan kehadiran penonton yang luar biasa,” katanya. – AGENSI