fbpx

Pakej berpatutan untuk belia teroka bidang digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Penyedia perkhidmatan telekomunikasi di negara ini menyambut baik saranan Perdana Menteri agar golongan belia diberikan pengetahuan yang mencukupi dan peluang yang luas untuk mencetuskan inovasi dan idea baharu di era ekonomi digital.

Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, pakej langganan yang disediakan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi sentiasa mengambil kira keperluan belia terhadap capaian jalur lebar yang murah dan berterusan.

Antara yang menarik perhatian ialah pakej Belia inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) di Sabah oleh syarikat Digi yang mana pendaftaran boleh dilakukan antara 1 hingga 31 Oktober akan datang.

Di bawah pelan itu, Digi Prepaid NEXT menawarkan pelan Internet edisi khas dengan akses Internet tanpa had dan panggilan kesemua rangkaian dengan harga RM35 sebulan atau RM12 seminggu.

“Dengan pakej pintar Digi Postpaid 58, para belia juga dapat memiliki telefon pintar 4G hanya pada harga RM68 sambil menikmati rebat bulanan RM10 yang sama pada pelan tersebut,” menurut kenyataan SKMM hari ini.

Tawaran lain termasuk daripada Celcom yang memberikan akses Internet tanpa had menerusi pas mingguan Internet prabayar Truly Unlimited Celcom Xpax dengan harga berpatutan iaitu pada RM12.

Untuk penstriman YouTube tanpa had sepanjang masa, bersama-sama Internet berkelajuan tinggi sehingga 16GB, belia boleh memilih pelan pascabayar Celcom Xpax ‘XPLite™️’ pada RM38 sebulan manakala Pelan video Walla Celcom Xpax juga direka khas untuk memenuhi kepuasan digital Media Sosial, Video, Muzik dan permainan dalam talian.

Syarikat telekomunikasi lain seperti Maxis, Umobile dan Telekom turut menawarkan pakej masing-masing.

Dalam pada itu, tinjauan SKMM terhadap penggunaan perkhidmatan jalur lebar pada 2018 mendedahkan bahawa golongan belia membentuk komposisi 67.8 peratus daripada 28.7 juta pengguna Internet di negara ini; 80.9 peratus atau 16.6 juta terlibat dengan aktiviti e-dagang dan 78.4 peratus menggunakan Internet setiap hari antara 1-12 jam.

“Tinjauan ini juga menunjukkan kecenderungan golongan belia menggunakan Internet sebagai platform utama untuk mencari pekerjaan, bermain permainan dalam talian, mendapatkan hiburan, berkomunikasi dan mencari maklumat,” menurutnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI