SEBERANG PERAI – Seramai 18 individu termasuk seorang wanita ditahan polis selepas didapati terlibat dalam kegiatan berkaitan dadah dalam operasi di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Penaga, Kepala Batas di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menahan individu terbabit selepas melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi termasuk rumah ketika Ops Tapis Khas bermula pukul 6.30 pagi.
“Seramai 17 lelaki dan seorang wanita berusia di antara 20 hingga 50 tahun diperiksa serta kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Kita turut merampas dadah bernilai RM2,061 termasuk syabu sebanyak 1.8 gram (g), heroin (33.3g), Pil Eramin 5 (dua biji) dan ketum (19.25 liter),” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Operasi berkenaan disertai 25 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah SPU dan anggota bantuan serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). – K! ONLINE