Oleh YATIMIN ABDULLAH
TUMPAT – Seorang lelaki ditemui lemas ketika sedang mencari lala bersama empat lagi rakannya di Laguna Pantai Sri Tujoh di sini hari ini.
Mayat Mohamad Munzir Mustafa, 28, ditemui oleh anggota pasukan penyelamat di air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 1.30 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira jarak 300 meter dari tempat dia dipercayai lemas.
“Kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 11.40 malam tadi ketika mangsa sedang mencari lala di kawasan tersebut.
“Difahamkan, mangsa tidak menyedari berlakunya fenomena air pasang ketika itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Wan Baijuri berkata, anggota Balai Bomba Tumpat menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.13 pagi tadi sebelum seramai 14 anggota telah bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa,
Tambahnya, jenazah mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. -K! ONLINE