fbpx

Kuching FA mahu sapu bersih baki saingan Liga Premier

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD NURFAIZAL yakin Kuching FA mampu memenangi baki tiga perlawanan Liga Premier untuk memperbaiki kedudukan pada carta liga.

SELEPAS melakar kemena­ngan 2-0 ke atas Kelantan pada aksi Liga Premier di Stadium Negeri Sarawak malam kelmarin, Kuching FA mula merangka perancangan menjelang aksi seterusnya.

Penolong jurulatih Ku­ching, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah berharap skuad kendaliannya menjadikan kemenangan itu sebagai tonik bagi menghadapi baki tiga perlawanan liga.

Katanya, baki tiga perlawanan menentang Negeri Sembilan, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Kuala Lumpur perlu dipandang serius bagi memastikan mereka mengutip sembilan mata.

“Tahniah kepada semua pemain kerana menampilkan aksi yang cukup baik serta berjuang hingga ke tiupan wisel terakhir. Syukur kerana kami berjaya dapatkan tiga mata.

“Masih ada baki tiga perlawanan menentang Negeri Sembilan, JDT II dan seterusnya Kuala Lumpur. Kami harap boleh kutip sembilan mata dalam tiga perlawanan ini,” katanya.

Pada ketika ini, pasukan yang berpangkalan di Sarawak itu menghuni tangga ke-11 liga dengan mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan, satu kalah dan lima seri.

Mengulas aksi menentang The Red Warriors (TRW), Nurfaizal menganggap semangat kekeluargaan yang dimiliki pasukan itu menjadi salah satu faktor kemenangan mereka.

“Apa yang saya lihat, kami memiliki semangat kekeluargaan yang cukup tinggi dan ia membantu kemenangan Kuching hari ini (kelmarin). Saya ucapkan tahniah juga kepada Kelantan kerana turut bermain baik.

“Selain itu, kami juga berjaya pastikan pintu gol tidak dibolosi. Maknanya, benteng pertahanan sudah jalankan tugas dengan baik dan sangat tersusun,” ujarnya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah enggan mengulas lanjut berhubung prestasi barisan pemainnya, namun mengakui kecewa dengan kekalahan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI