JAKARTA – Polis Indonesia menemui semula sehelai kain kafan milik jenazah wanita yang dicuri dalam satu kejadian aneh di sebuah kampung di wilayah Jawa Timur, Indonesia semalam, lapor portal Berita Jatim semalam.
Kes kecurian itu dilaporkan berlaku di Kampung Sumberbeji Hamlet, Desa Kesamben di Kabupaten Jombang.
Beberapa portal berita Indonesia melaporkan bahawa tanah kubur Allahyarham Anis Purwaningsih itu digali menggunakan piring oleh individu misteri lalu mencuri kain kafan berkenaan.
Ketua Perhubungan Awam Polis Jombang, Ketua Inspektor Hariyono dalam satu kenyataan berkata, kain kafan yang dicuri dari kubur berkenaan sudah ditemui di dalam beg plastik berwarna hitam dan biru.
“Kain kafan Allahyarham Anis Purwaningsih ditemui kira-kira pukul 10.30 pagi (waktu tempatan) dekat rumah penduduk Sumberbeji bernama Kustiyah, 55.
“Kami mengambil kedua-dua objek itu,” katanya.
Selain kain kafan, satu patung tembaga turut ditemui di dalam beg plastik berkenaan.
Sebelum ini, penduduk kampung itu terkejut selepas menemui kubur Anis yang sudah digali semula oleh pencuri menggunakan piring jenis zink pada petang kelmarin.
Mereka turut mendapati, ada kain kafan jenazah itu dicuri dan segera melaporkan perkara itu kepada polis.
Polis turut merampas piring zink yang digunakan sebagai alat menggali tanah, namun belum ada tangkapan dibuat setakat ini.
Anis yang merupakan seorang suri rumah, meninggal dunia pada usia 26 tahun dan dikebumikan Sabtu lalu. Penduduk kampung dan waris keluarga kemudian memulihkan semula keadaan kubur Anis. – Agensi