Oleh NOOR HASLIZA NUSI
MELIHAT kelibat seorang gadis ditemani beberapa kanak-kanak lelaki yang mundar-mandir di sepanjang persisiran Pantai Jerejak dekat Sungai Nibong, Pulau Pinang baru-baru ini menimbulkan persoalan di minda penulis apa yang dilakukan mereka di situ.
Dalam keadaan hujan lebat dan air laut pasang, mereka tidak sesekali mengeluh sebaliknya terus berjalan meredah laluan di bawah rimbunan pokok sepanjang kira-kira satu kilometer itu.
Sebaik disapa, gadis berwajah bujur itu memberitahu yang mereka sebenarnya sedang mencari spesies hidupan laut bercengkerang iaitu belangkas.
“Inilah masa yang sesuai untuk mencari belangkas dan ketika ini juga banyak belangkas muncul di gigi air. Kami akan berada di sini ketika air laut pasang dan pulang ke rumah pada lewat petang sebaik mendapat hasil tangkapan.
“Itupun bergantung pada nasib. Kami pernah membawa balik kira-kira 30 ekor belangkas dan ada juga pulang dengan tangan kosong,” kata Nor Athirah Yasak, 24, yang merupakan seorang penangkap belangkas. Dia juga menjual belangkas secara online.
Anak kesembilan daripada 10 beradik itu memberitahu, dia akan ke pantai berkenaan hampir setiap hari dengan ditemani beberapa anak saudaranya.
“Apabila nampak kelompok buih yang panjang di dalam air, itu tandanya terdapat belangkas. Nampak sahaja kelompok buih seperti itu, terus tangkap dengan tangan. Ini memerlukan kemahiran dan ketangkasan tangan.
“Sebenarnya bukan semua orang memiliki kemahiran menangkap belangkas. Hendak tangkap belangkas pun ada tekniknya,” katanya.
Jelas Nor Athirah, belangkas biasanya ditangkap dalam keadaan berpasangan jantan dan betina.
“Kebiasaannya kami hanya mengambil yang betina kerana mempunyai telur dan melepaskan semula yang jantan,” ujarnya dalam keadaan pakaian yang basah kuyup.
Cerita Athirah lagi, minat untuk mencari belangkas bermula sejak berusia enam tahun ketika menemani bapanya, Yasak Zakaria, 79, ke tepi laut Batu Uban.
“Bapa saya merupakan bekas nelayan pantai. Dahulu dia kerap membawa kami adik-beradik mencari belangkas di tepi laut berhampiran rumah di Batu Uban untuk dijadikan hidangan makanan kami sekeluarga.
“Di usia itu, saya sudah membantu bapa menambah pendapatan kami sekeluarga dengan menjual belangkas di sekeliling kampung dan di tepi jalan. Namun, sehingga ke hari ini, tradisi mencari belangkas terus diwarisi oleh saya dan beberapa adik-beradik lain,” jelasnya yang menjadikan aktiviti mencari belangkas sebagai kerjaya sepenuh masa.
Semakin berkurangan
Tambahnya lagi, aktiviti menangkap belangkas ini patut dikomersialkan memandangkan hidupan akuatik itu turut menjadi kegemaran ramai.
“Saya fikir aktiviti menangkap hidupan laut ini perlu dikomersialkan ke peringkat lebih tinggi memandangkan spesies ini juga menjadi sajian makanan laut yang enak dan dikatakan mempunyai khasiat tersendiri untuk kesihatan.
“Perniagaan belangkas mula dijalankan secara serius sejak dua tahun lalu selepas melihat sambutan luar biasa dalam kalangan penggemar di negeri ini terhadap makanan laut bercengkerang,” katanya sambil menjelaskan belangkas segar dijual pada harga RM12 di pasaran, manakala belangkas bakar yang dibakar dengan kayu api dijual pada harga RM18 seekor.
Justeru, Athirah mengakui yang spesies belangkas semakin berkurangan berbanding 15 tahun lalu berikutan projek penambakan laut yang semakin rancak di pantai negeri ini.
Sementara itu, seorang lagi penangkap belangkas, Mohd. Affendee Md. Yusoff, 41, pula berkata, dia mewarisi kemahiran menangkap belangkas daripada bapanya, Md. Yusoff Ahmad sejak usianya sembilan tahun.
Cerita anak kelahiran Jelutong itu lagi, arwah bapanya akan membawanya ke persisiran pantai di Glugor hampir setiap minggu sehinggalah dia memasuki alam remaja.
“Sejak dari kecil, belangkas rebus dijadikan sebahagian makanan tengah hari kami yang dihidangkan bersama nasi putih. Bagaimanapun, sehingga ke saat ini, aktiviti menangkap belangkas untuk dijadikan sajian masih lagi diteruskan. Kini saya ditemani dua anak lelaki ke Pantai Jerejak untuk mencari belangkas.
“Kami sekeluarga sangat menggemari belangkas. Hampir setiap minggu kami akan datang ke sini untuk mencari belangkas terutamanya semasa hari ke-13, 14 dan 15 mengikut kalendar Islam kerana kebiasaannya air laut pasang pada masa itu.
“Tidak kira siang atau malam, lokasi ini dianggap selamat dan strategik untuk menjalankan aktiviti mencari belangkas,” katanya.
Cerita Mohd. Affendee lagi, dia amat menitikberatkan aspek pembersihan belangkas sebelum dijadikan masakan secara rebusan.
Sementara itu, seorang penggemar belangkas, Fatimah Ahmad, 37, berkata, dia menggemari belangkas bakar yang dimakan bersama kerabu mangga.
“Saya memilih menu itu kerana keenakan rasanya. Saya mula meminati hidangan belangkas bakar pada tahun lalu dan saya akan terus menjadikan pengambilan makanan itu sebagai amalan,” katanya.
Seorang lagi penggemar belangkas, Mohamad Fakhri Abdul Manaf, 26, memberitahu, dia meminati sajian belangkas bakar disebabkan kelazatan rasanya yang berbeza dengan makanan laut lain.
“Selain mendapat kepuasan, saya menjadi ketagih untuk makan belangkas bakar dan akan membelinya setiap kali tempahan dibuka.
“Saya diajar makan belangkas sejak umur lima tahun dan kini makanan laut ini sudah mula dikomersialkan dengan aneka gabungan menu masakan,” jelas kakitangan kerajaan itu.