fbpx

Hanya 25 peratus pekebun kecil miliki MSPO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHTAR (kiri) menyerahkan plak penghargaan kepada Jeck Seng yang hadir merasmikan Ibu Pejabat baharu MPOCC di Seksyen U1, Shah Alam, hari ini. -Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Hanya 25 peratus pekebun kecil persendirian di seluruh negara telah mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) setakat ini.

Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Muhtar Suhaili berkata, situasi itu jelas merugikan apabila pembiayaan sijil tersebut ditanggung sepenuhnya kerajaan.

Katanya, pensijilan itu dan logo MSPO yang tertera pada produk mereka membuktikan ia lebih berkualiti dan bermutu tinggi.

“Tahap kesedaran rendah mengenai kepentingan dan kelebihan sijil MSPO itu antara faktor utama pekebun kecil tidak tampil mendaftar untuk mendapatkannya.

“Kami sedang giat mempromosikan di seluruh negara kerana ramai tidak menyedari bahawa pembiayaan sijil tersebut ditanggung sepenuhnya kerajaan,” katanya pada sidang akhbar sempena perasmian Ibu Pejabat baharu MPOCC di Seksyen U1 di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah spesifik keseluruhan pekebun kecil yang ada di negara ini.

Muhtar memberitahu, pensijilan MSPO yang diperkenalkan sejak 2017 itu bertujuan memastikan pengusaha sawit dapat melaksanakan penanaman sawit secara lestari mengikut Amalan Pertanian Baik (GAP).

“Langkah itu turut berupaya meningkatkan pendapatan pengusaha sawit termasuk pekebun kecil persendirian,” katanya.

Dalam pada itu, Jeck Seng dalam ucapannya berkata, kerajaan akan terus menyokong usaha meningkatkan penyertaan pensijilan tersebut sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa.

“Kita akan menjalinkan hubungan dengan beberapa negara bagi memastikan industri minyak sawit tempatan terus dikenali dunia.

“Bagi langkah tempoh jangka masa panjang, kita akan memperkukuhkan lagi standard sedia ada MSPO supaya bersesuaian dengan kualiti pasaran antarabangsa,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI