fbpx

Gaji, elaun rakyat jangan disentuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MEGAT RAMLI MEGAT RAOF, PENGARANG BERITA

ISU pemotongan gaji atau elaun sememangnya sensitif bagi rakyat Malaysia. Isu ini boleh mendatangkan kemarahan kerana tiada sesiapa pun suka duit mereka dikurangkan.

Baru-baru ini, elaun nazir, siak, bilal dan petugas masjid serta surau di seluruh Selangor pun dikurangkan.

Ramai pihak di luar sana tidak setuju dengan pemotongan elaun itu yang dianggap hampir 50 peratus, tidak sepadan dengan status Selangor yang merupakan sebuah negeri yang kaya.

Dakwa pihak tertentu, sewajarnya elaun itu ditambah lagi atau sekurang-kurangkan dikekalkan. Ia mengambil kira kepentingan petugas masjid atau surau yang melancarkan pengurusan institusi agama Islam serta khidmat mereka kepada ahli kariah.

Berdasarkan laporan Kosmo! minggu lalu, jumlah elaun bulanan yang diberikan kepada petugas masjid dan surau sebanyak RM1,430 terpaksa dikurangkan kepada RM880 bagi memberi keutamaan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan di negeri itu.

Ia berikutan kutipan zakat di Selangor menurun sehingga 31 peratus iaitu sebanyak RM44.9 juta pada Mac tahun ini berbanding RM65.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Puncanya kerana kekangan kewangan yang dihadapi pembayar zakat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 sejak Mac lalu.

Bagaimanapun, isu itu akhirnya selesai apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersetuju untuk mengembalikan semula elaun tersebut kepada kadar asal, iaitu RM1,430.

Ternyata, bukan senang kerajaan untuk memotong gaji atau elaun rakyat, namun jika gaji menteri dipotong, ia dianggap wajar dilakukan terhadap pemimpin negara yang berpendapatan besar.

Gaji menteri pernah dipotong selama dua bulan pada Mac lalu untuk disalurkan ke Tabung Covid-19 bagi membantu golongan yang terkesan dengan virus itu.

Pada Mei 2018 pula, gaji asas menteri pernah dipotong sebanyak 10 peratus bagi menunjukkan prihatin terhadap masalah kewangan negara.

Pemotongan gaji menteri disambut amat baik, tetapi jangan sekali menyentuh gaji atau elaun rakyat waima jika di peringkat cadangan sahaja.

April lalu, seorang usahawan terkenal mencadangkan gaji penjawat awam dipotong berikutan krisis Covid-19 dan penjimatan wang kerajaan dapat digunakan bagi membantu golongan yang terkesan akibat PKP.

Cadangan itu ternyata menyentap hati kira-kira 1.6 juta penjawat awam di negara ini. Kecoh satu Malaysia dalam kalangan kakitangan kerajaan yang tidak berpuas hati dengan usul tersebut.

Selain pemotongan gaji atau elaun, isu kenaikan harga juga amat sensitif. Tak kiralah kenaikan harga petrol atau tarif elektrik, seboleh-bolehnya rakyat tak mahu dengar.

Setiap sen pun diambil kira. Sebab itu cadangan kerajaan untuk mengenakan caj 20 sen bagi pembelian online di bawah RM1,000 di platform e-dagang ditentang.

Bukan senang untuk menjadi sebuah kerajaan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Setiap dasar yang dilaksanakan perlu mengambil kira pelbagai aspek agar kantung rakyat tidak terjejas. Jika silap percaturan, sesebuah kerajaan boleh tumbang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI