KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican amat berpuas hati dengan perjalanan Liga Malaysia (Liga M) yang kembali bersambung pada 28 Ogos lalu dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 dilaksanakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan juga pasukan-pasukan yang bertanding.
Kenyataan itu disuarakan selepas beliau mendapat laporan pengelolaan perlawanan Liga Malaysia serta turut sendiri ‘turun padang’ memantau pematuhan SOP di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras semalam membabitkan perlawanan Liga Super di antara Kedah dengan Sabah.
Justeru, Reezal berharap semua pihak terus bekerjasama bagi memastikan kelancaran Liga M sekali gus memberi keyakinan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk beralih ke fasa yang seterusnya bagi membenarkan kehadiran penyokong ke stadium.
“Alhamdulilah saya dapat hadir untuk tengok sendiri pematuhan SOP yang telah ditetapkan di mana mereka telah melaksanakan dengan baik dalam perlawanan antara Kedah dan Sabah.
“Saya juga dapat maklumat untuk perlawanan-perlawanan lain dan semuanya berjalan dengan lancar.
“Dengan pematuhan penjarakan fizikal, dengan SOP ketika pendaftaran masuk sehinggalah ke dalam stadium semuanya dalam keadaan baik dan saya berharap ia akan berterusan kerana jika ia terus positif seperti ini, kita akan dapat ke Fasa 5 dan 6 pula.
“Sekarang kita di Fasa 4 iaitu membenarkan untuk mengadakan pertandingan domestik tanpa kehadiran penonton, jadi kalau ini dapat berterusan dengan baik, mungkin kita boleh menyakinkan MKN dan KKM untuk beralih ke fasa seterusnya pula.
“Tapi saya tidak mahu letak harapan apa-apa lagi kerana apa yang penting agar semua dapat terus melaksanakan pematuhan SOP dengan tegas untuk elak sebarang kemungkinan jangkitan Covid-19, dan untuk sekarang saya memang cukup berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan,” jelasnya.