Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi memohon maaf ke atas seluruh anggota keselamatan ekoran video tular mempersendakan pasukan keselamatan.
Mohamaddin berkata, kenyataan yang diucapkan dalam video klip terbabit menimbulkan salah faham.
“Saya tidak berniat menghina anggota keselamatan yang sudah berjuang mempertahankan kedaulatan negara, dalam video terbabit juga hanya memaparkan kesukaran dihadapi oleh anggota keselamatan kita yang berpunca daripada kelemahan kerajaan terdahulu.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya permainan kotor pihak tertentu yang jelas mahu menjatuhkan Warisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mahaddin, peristiwa pencerobohan Tanduo tidak akan berlaku sekiranya kerajaan sebelum ini memberi keutamaan kepada usaha menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Oleh itu, saya menegaskan bahawa saya tiada niat untuk menghina anggota keselamatan kita yang bertugas semasa kejadian Tanduo.
“Bagaimanapun, saya ingin memohon maaf jika video yang ditularkan itu mengguris hati anggota keselamatan,” katanya. – K! ONLINE