fbpx

Satu lagi mayat PATI ditemui terdampar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis mengangkat mayat seorang wanita yang ditemui terdampar di Pantai Teluk C, Bandar Penawar, Kota Tinggi hari ini.

Oleh MASTURAH SURADI

KOTA TINGGI – Satu lagi mayat wanita dewasa dipercayai dari kumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditemui di pesisiran Pantai Teluk C, Bandar Penawar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat awal penemuan mayat itu pada pukul 9.25 pagi tadi.

“Mayat berkenaan adalah wanita dewasa dan tidak mempunyai identiti. Keadaan mayat dalam keadaan membengkak, hanya berseluar pendek warna hijau tanpa baju.

“Mayat itu ditemui lebih kurang 50 meter dari lokasi penemuan enam mayat dijumpai semalam,”katanya dalam satu kenyataan.

Hussin berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kota Tinggi telah dimaklumkan berkenaan penemuan mayat itu untuk tindakan pemeriksaan Covid-19 ke atas mayat.

Beliau juga memaklumkan siasatan lanjut ke atas suspek yang masih hidup mendapati bot berkenaan dianggarkan membawa 20 orang PATI.

Semalam, enam mayat terdiri daripada empat perempuan dewasa dan dua lelaki dewasa warganegara Indonesia berusia lingkungan 31 hingga 46 tahun ditemui orang awam di persisir pantai sama.

Mangsa dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada Indonesia yang ingin masuk ke Malaysia melalui jalan laut di kawasan tersebut sebelum dipercayai lemas apabila turun daripada bot pancung disebabkan ombak besar.

Dalam masa sama seramai enam lelaki dewasa warganegara Indonesia dipercayai daripada kumpulan yang sama turut berjaya ditahan hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI