SEBELUM ini sukan silat sering menimbulkan pertikaian di pentas antarabangsa mahupun di Asia Tenggara terutama menerusi keputusan berat sebelah oleh wasit pertandingan.
Bagaimanapun, peraturan baharu yang mula diperkenalkan oleh Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) pada Februari lalu bakal menyaksikan sukan tempur itu lebih ekstrem sekali gus memungkinkan tiada lagi isu keputusan berat sebelah.
Peraturan tersebut akan mula dilaksanakan pada Kejuaraan Dunia yang dijadualkan berlangsung di Kuching, tahun depan dan turut digunakan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2021 nanti.
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, semua pesilat kini perlu memiliki persediaan 200 peratus apabila Persilat bersetuju dengan kaedah perlawanan yang dilihat lebih terbuka.
“Kali ini peraturan baharu lebih ganas kerana jika dahulu enam serangan lepas itu berhenti, kemudian bawa semula ke tengah, mulakan balik, tetapi sekarang tiada kerana mereka juga boleh melakukan serangan bertali arus selama satu minit tanpa henti.
“Jadi ini memerlukan persediaan yang rapi. Hanya yang terbaik mampu kekal dalam gelanggang. 90 peratus dari segi pemberian markah sangat berbeza.
“Pemberian markah juga lebih jelas dan tiada kekeliruan. Format tersebut juga jelas dan penonton boleh lihat siapa yang sedang mendahului.
“Sekarang ini pesilat boleh berpelukan dan dalam masa sama boleh buat kuncian, boleh gunakan siku, boleh guna lutut, boleh buat tendangan dua kaki. Ini satu perubahan besar dan lebih menarik untuk disaksikan.
“Terdapat juga ulang tayang dan saya yakin tiada lagi keputusan berat sebelah. Sukan silat selepas ini lebih bersih dan mampu dipertandingkan di pentas yang lebih tinggi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Isu keputusan berat sebelah dalam sukan pencak silat bukan satu perkara baharu apabila sebelum ini jaguh negara, Mohd Al Jufferi Jamari menjadi mangsa ketidaktelusan keputusan juri pada aksi final Sukan Asia 2018 sehingga mengambil keputusan menarik diri.
Mohd. Al Jufferi berbuat demikian sebagai membantah keputusan penuh kontroversi yang menyaksikan setiap pukulan dan tendangan Al Jufferi tidak dikira oleh beberapa juri sebaliknya markah terus diberikan kepada pesilat tuan rumah Komang Harik Adi Putra.
Antara peraturan baharu yang digunakan seperti membenarkan membuat tumbukan Superman, tarik dan pukul, pukul di bahagian belakang vest, pukulan tangan belakang, lompat dan menyiku ke vest, membuat kuncian, sekali gus menjadikan sukan silat lebih menarik ala mempertahankan diri campuran (MMA).
Mengulas lanjut, Megat berkata, dia menzahirkan rasa syukur apabila Persilat bersetuju dengan peraturan baharu tersebut agar lebih difahami kepada mereka yang menonton.
“Saya merupakan salah seorang penggubal undang-undang ini dan empat kali kita mengadakan bengkel. Ketika ini seluruh ahli sukan silat seluruh dunia sudah mengetahui undang-undang baharu ini.
“Ini perancangan kita dan sudah lama kami mahu lihat pertandingan silat dilihat lebih menarik dan agresif.
“Kita akan gunakan format baharu ini di Kejuaraan Dunia di Kuching. Kita juga tidak mahu ambil mudah kerana perlu bersiap sedia sebaiknya,” katanya.