KUALA LUMPUR – Maju Perak Holdings Bhd. (MHB) menerusi anak syarikatnya, Tenaga Danawa Sdn. Bhd. (Tenaga Danawa) memeterai perjanjian usaha sama dan pemegangan saham dengan Taraf Nusantara Sdn. Bhd. (Taraf Nusantara), anak syarikat Legenda Properties Bhd.
Pemeteraian perjanjian tersebut adalah untuk projek pembangunan hartanah bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM295 juta di mukim Batang Padang, Tapah, Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Nizran Noordin berkata, projek hartanah seluas 92.96 hektar itu merupakan kerjasama sulung MHB untuk membangunkan bank tanahnya dengan kerjasama pemaju hartanah berpengalaman.
“Ia melibatkan pembangunan 1,374 unit rumah teres, 264 unit rumah kedai dua tingkat dan ruang untuk pelbagai kemudahan seperti stesen minyak, pasar raya dan pejabat untuk agensi kerajaan.
“Unit kediaman dijual pada harga antara RM152,000 hingga RM172,000 seunit manakala rumah kedai berharga antara RM284,000 hingga 299,000 seunit akan ditawarkan kepada umum,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena majlis pemeteraian perjanjian antara dua entiti berkenaan di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Taraf Nusantara, Datuk Doh Jee Ming.
Selain itu, Nizran menjelaskan, pihaknya berpegang kepada mandat untuk membangunkan rumah mampu milik di Perak.
“Memanfaatkan kepakaran Tenaga Danawa dalam segmen ini selain ditambah rekod prestasi kukuh Taraf Nusantara dalam projek perumahan berskala besar sebelum ini, perkongsian tersebut merupakan bukti usaha berterusan kami untuk menyumbang kepada pembangunan negeri dan memberi manfaat kepada rakyat Perak terutama dalam aspek perumahan,” jelasnya.
MHB dengan usaha sama rakan niaga lain bakal membangunkan dan menguruskan projek itu sepenuhnya.
“Dengan anggaran GDV RM295 juta itu, kami optimis terhadap prospek masa depan dalam segmen hartanah untuk jangka panjang, seiring pemulihan ekonomi negara daripada kesan wabak Covid-19,” ujarnya.
Projek tersebut akan dimulakan pada awal tahun depan dan diunjurkan siap sepenuhnya pada 2026.