Oleh AZAHAR HASHIM
KULIM – Polis percaya dapat menyelesaikan satu kes pecah masuk premis sebuah syarikat kejuruteraan melibatkan kerugian kira-kira RM20,000 pada tahun lalu selepas menahan seorang lelaki warga Myanmar di Taman Keranji di sini hari ini.
Suspek berusia 29 tahun ditahan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang melakukan rondaan cegah jenayah kira-kira pukul 4 pagi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim memberitahu, warga asing itu ditahan kerana dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas suspek menemui sebilah pisau dan sebatang besi pengumpil,” katanya di sini hari ini.
Katanya, dalam soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah rumah kedai milik syarikat kejuruteraan di Bandar Putra di sini pada November tahun lalu.
“Antara barangan yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu adalah mesin pengimpal serta beberapa peralatan kejuruteraan yang kesemuanya berjumlah 29 unit dianggarkan bernilai RM20,000,” ujarnya.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan barangan yang dilaporkan hilang itu selain mengenal pasti kemungkinan terdapat beberapa lagi suspek lain terlibat.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE